Friday, December 23, 2011

Dakwah kepada orang bukan Islam

Dalam memahami golongan bukan Islam, ianya memerlukan satu metodologi yang bijak untuk memastikan mesej yang disampaikan mencapai matlamat.[1] Oleh itu, mawdu’[2] yang sesuai perlu digunakan untuk menghilangkan prejudis dan salah faham serta memenuhi keperluan mereka dalam kehidupan yang sebenar. Persembahan yang menarik serta maqasid[3] yang jelas adalah sangat penting dalam usaha memahami mereka tentang Islam yang sebenar. Oleh itu, pendakwah haruslah berusaha dalam mencari ruang yang boleh menarik mereka memahami Islam. Dalam Surah al-Baqarah ayat 272, Allah telah berfirman:-


“Bukanlah kewajipanmu (Muhammad) menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allahlah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Apa pun, harta yang kamu infakkan, maka (kebaikannya) untuk dirimu sendiri. Dan janganlah kamu berinfak melainkan kerana mencari redha Allah. Dan apa pun harta yang kamu infakkan, nescaya kamu akan diberi (pahala) secara penuh dan kamu tidak akan dizalimi (dirugikan).”
Terjemahan Surah al-Baqarah (2): ayat 272


Untuk itu, untuk menarik orang bukan Islam, kita haruslah lebih kreatif dalam mempersembahkan sesuatu. Ini kerana antara metode dakwah untuk menarik sasaran ialah persembahan yang cantik, mengemukakan sesuatu pemikiran dengan label-label yang baru, mengemukan isu tepat pada waktunya, menggunakan psikologi serta penguasaan ilmu semasa yang luas ( Abd. Aziz Mohd Zin, 1999).[4]
Sudah menjadi lumrah manusia sukakan kecantikan, ini bermaksud sasaran memerlukan satu pendekatan yang mampu menarik mereka melalui sudut atau teknik yang sesuai. Melalui psikologi pula, Dr. Yusuf Al-Qaradawi (1996) menyatakan bahawa ianya penting untuk memahami sasaran. Jika pandakwah mampu memahami psikologi orang bukan Islam, maka ianya memudahkan untuk menerangkan tanda-tanda kekuasaan Allah, menolong memahami dalil atau tafsir sesuai dengan akal semasa dan memahami rahsia hukum syarak yang boleh meningkatkan keimanan.



Media antara salah satu medium yang paling dekat dengan pendekatan psikologi dakwah. Ini kerana, media mempunyai daya tarikan psikologi yang cukup kuat dalam mempengaruhi pemikiran seseorang. Psikologi dakwah juga boleh diertikan sebagai ilmu pengetahuan dan kajian terhadap perwatakan serta emosi manusia untuk kepentingan dakwah itu sendiri (Fariza 2009).
Dalam Surah asy-Syûră ayat 15, Allah telah berfirman yang bermaksud:-



Kerana itu, serulah (mereka beriman) dan tetaplah (beriman dan berdakwah) sebagaimana diperintahkan kepadamu (Muhammad) dan janganlah mengikuti keinginan mereka dan katakanlah, “Aku beriman kepada kitab yang diturunkan Allah dan aku diperintahkan agar berlaku adil di antara kamu. Allah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami perbuatan kami dan bagi kamu perbuatan kamu. Tidak (perlu) ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nyalah (kita) kembali.”
Terjemahan Surah asy-Syûră (42): 15


Penguasaan orang bukan Islam dalam menguasai media memang tidak dapat disangkalkan lagi terutamanya media elektronik. Perkembangan teknologi maklumat sejajar dengan kesungguhan mereka menguasai media memberi cabaran besar kepada umat Islam. Antaranya adalah bidang grafik yang banyak dipelopori mereka dan kini diangkat sebagai bidang kerjaya komersial. Oleh itu, umat Islam perlulah kehadapan untuk terus memahami orang bukan Islam dan secara berhemah dalam usaha mendekati mereka dan salah satunya adalah menggunakan pendekatan melalui sentuhan grafik.


[1] Ab. Aziz Mohd Zin (1997), Pengantar Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, h.99.
[2] isu
[3] matlamat
[4] Ab. Aziz Mohd Zin (1997), Pengantar Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, h.99.






::Nurul Akma Osman::




No comments:

Post a Comment